Sunday, July 10, 2022

4 SOALAN MAUT PANEL

Untuk membantu anda mempersiapkan diri, kami akan menerangkan 10 soalan temuduga kerja popular yang biasa ditanya oleh bakal majikan. Tips temuduga atau interview ini hanyalah merupakan panduan am dan bukannya patut digunakan sebagai skrip bulat-bulat. Sebaliknya, soalan temuduga kerja berikut boleh digunakan sebagai garis panduan untuk anda memikirkan respons yang terbaik untuk mendapatkan pekerjaan yang diingini.





1. CERITAKAN SERBA SEDIKIT TENTANG DIRI ANDA.

Soalan ini adalah soalan klasik yang biasa ditanya pada permulaan temuduga. Ini adalah peluang anda untuk memberitahu bakal majikan siapa diri anda secara keseluruhannya dan apa yang anda boleh menyumbang kepada pekerjaan ini.

Sebaik-baiknya, anda perlu menceritakan selama 2-3 minit tentang diri anda, minat peribadi jika ia relevan dengan jawatan yang dipohon dan pengalaman kerja.

Bakal majikan akan mempertimbangkan 3 perkara:

·       - Kemahiran anda untuk memberi ringkasan pengalaman hidup dan kerja anda yang berkaitan dengan jawatan yang dipohon. Elakkan daripada membebel perkara yang tidak relevan atau cerita yang terlalu panjang.

·         - Gaya perbualan, tahap keyakinan diri dan kemampuan anda untuk mengatur dan menyampaikan maklumat.

·         - Gambaran penuh diri anda yang sebenarnya.

2. KENAPA ANDA INGIN BEKERJA DENGAN SYARIKAT INI?

Tujuan soalan ini adalah untuk mengetahui motivasi anda untuk bekerja dengan syarikat tersebut. Bakal majikan mempunyai pengalaman yang banyak jadi mereka tahu jika anda tidak jujur.

·         - Pertama sekali, sebelum hadir ke sesi temuduga, pastikan anda laksanakan kajian tentang syarikat tersebut terlebih dahulu. Fahami budaya syarikat dan apa yang mereka lakukan.

·         - Kedua, elakkan daripada memberi jawapan seperti “Oh, sebab tempat ini sangat best untuk kerja! Saya suka gaji dan pakej imbuhan yang ditawarkan,” ataupun “Rakan-rakan saya ada dalam syarikat ini jadi lebih senang untuk meluangkan masa dengan mereka.” Jawapan macam ini sangat jelak didengar dan tidak menunjukkan kemahiran dan pengalaman anda yang boleh menyumbang kepada syarikat tersebut.

·         - Ketiga, tunjukkan bagaimana anda boleh bantu mencapai matlamat syarikat menggunakan kemahiran atau pengalaman anda. Gunakan contoh sebenar seperti pengalaman kerja sebelum ini.

3. KENAPA ANDA INGIN MENCARI PEKERJAAN BARU?

Soalan ini nampak mudah tetapi cuba fikir lagi sekali. Ia sangat mudah untuk anda memberi jawapan yang tidak diingini jika anda tidak bersedia. Kebanyakan orang cari pekerjaan baru sebab mereka tidak berpuas hati dengan pekerjaan semasa. Walaupun benar, cara anda menyampaikan jawapan tersebut mungkin mempunyai unsur negatif. Jadi untuk soalan ini, bakal majikan sebenarnya ingin tahu cara anda menyampaikan jawapan anda ketika sesi temuduga sama ada anda boleh kekal jujur dan positif.

Jika anda dipecat dari pekerjaan terakhir, cuba jawab dengan ringkas dan jujur. Jangan pula anda beremosi dan mengejek bekas majikan atau syarikat. Anda tak mahu bakal majikan untuk memikirkan bahawa anda masih tak puas hati dan tak boleh fokus kepada pekerjaan seterusnya. Ia juga mungkin menunjukkan peribadi negatif anda yang tidak boleh menerima hakikat dan sering menyalahkan orang lain.

Jika anda meninggalkan pekerjaan secara sukarela, nyatakan secara ringkas dan jangan kongsi perkara negatif. Sebaliknya, anda boleh fokus kepada cara anda boleh menyumbang kepada jawatan baru.

Contoh jawapan ringkas untuk soalan seperti ini:

Saya ingin membawa kerjaya saya ke arah baru (nyatakan apa arah baru tersebut).

Syarikat saya dulu tengah menyusun semula strukturnya jadi saya telah memilih untuk mencari peluang baru.

Saya ingin mengembangkan kemahiran baru tetapi tidak mampu melaksanakannya di syarikat dulu. Jadi, saya telah mengubah keadaan untuk mementingkan perkembangan kemahiran.