Friday, March 18, 2016

BUAH 4 LANGKAH.......

Empat langkah menuju hari temuduga.

Langkah pertama : Belajar mengenai syarikat.




Ambil tahu segalanya mengenai syarikat yang bakal menemuduga anda itu. Anda perlu tahu kenapa mereka perlukan anda dalam syarikat mereka dan apa yang anda perlu lakukan ketika bekerja nanti. Siasat visi dan misi syarikat itu di tubuhkan. Apabila anda jelas segalanya mengenai syarikat, anda pasti boleh menjawab apa sahaja soalan yang akan di beri nanti. Selain belajar hal dalaman syarikat, anda juga perlu belajar hal luara syarikat seperti persaingan yang mereka terpaksa hadapi, isu semasa yang melibatkan syarikat itu dan lain – lain.

Langkah kedua : Anda Kaji diri anda .

Untuk berjaya dalam proses temuduga, anda perlu pandai menjual diri anda. Jadi, anda kaji apa yang ada dalam diri anda dan siasat apakah yang mampu anda lakukan. Keluarkan segala jati diri yang anda ada seperti kebolehan memimpin, kebolehan berfikir dan perangai utama anda. Apabila anda tahu apa yang diri anda mampu lakukan, anda boleh menjual diri dengan baik nanti.

Langkah ketiga : Bersedia dan buat latihan.

Sediakan apa yang perlu untuk hadapi temuduga seperti pakaian, resume dan sebagainya. Pastikan rancangan anda jelas. Kemudian, anda buat latihan bercakap semasa temuduga nanti. Lakukan latihan sehingga anda berpuas hati. Apabila anda berlatih bercakap, anda tidak akan rasa gugup nanti.

Langkah keempat : Bersedia dan langkah dengan yakin.


Pada hari temuduga, anda perlu tekadkan di dalam hati untuk bersedia menerima apa sahaja yang bakal berlaku. Anda perlu letakkan keputusan temuduga pada perkara terakhir yang anda akan ambil peduli. Apa yang anda perlu lakukan sekarang adalah berikan yang terbaik.

Tuesday, March 15, 2016

JADIKAN DIRI ANDA TERBAIK

24 tip untuk jadikan diri anda terbaik antara calon temuduga yang lain.




  • 1.       Datang tepat pada waktunya. Jangan lewat tiba ke lokasi temuduga. Pastikan diri anda datang awal.
  • 2.       Pastikan anda buat persediaan sebelum datang temuduga. Pastikan ilmu penuh di dada sebelum turun ke gelanggang.
  • 3.       Malam sebelum temuduga, pastikan anda berada dalam keadaan tenang. Jangan berjaga malam untuk menonton bola atau lepak dengan rakan – rakan di kedai makan. Ini penting supaya otak anda tidak lari fokus.
  • 4.       Pilih pakaian yang sesuai dan nampak bergaya.
  • 5.       Gosok pakaian dan siap sediakan pakaian itu sehari sebelum. Jangan sediakan pakaian pada pagi hari, takut – takut tak sempat.
  • 6.       Lakukan sedikit kajian di internet mengenai soalan yang biasa di tanya ketika temuduga. Kajian ini penting supaya otak anda terbiasa dengan corak soalan yang bakal di tanya dan cara hendak menjawabnya.
  • 7.       Latih situasi temuduga dengan rakan atau ahli keluarga anda.
  • 8.       Elakkan diri dari bermain facebook atau laman sosial yang lain. Otak anda tidak boleh lari dari fokus.
  • 9.       Jaga pemakanan anda supaya anda tidak keracunan makanan di hari temuduga.
  • 10.   Sediakan resume yang lengkap dan periksa berkali –kali resume anda supaya anda pasti bahawa ia adalah terbaik.
  • 11.   Buat kajian mengenai bakal majikan sebaik mungkin. Majikan suka bertanya mengenai syarikat mereka supaya mereka tahu anda faham apa yang mereka mahukan dari anda.
  • 12.   Lapangkan dada dan bersedia untuk di tanya dengan apa sahaja soalan termasuklah soalan pelik dan lari dari tajuk.
  • 13.   Tutup telefon bimbit anda sebaik tiba ke lokasi temuduga dan fokus pada temuduga anda.
  • 14.   Jaga pergerakan bahasa badan anda.
  • 15.   Tunggu panel temuduga habis melontarkan soalan, barulah anda beri jawapan. Jangan cepat menyampuk atau memotong perbualan orang lain atau soalan.
  • 16.   Sentiasa senyum. Senyum akan berikan anda keyakinan dan perasaan lega. Orang yang melihat anda juga akan rasa tenang. Walaupun panel temuduga bermuka masam, anda senyum sahaja.
  • 17.   Sentiasa memandang tepat pada mata panel temuduga ketika menjawab soalan.
  • 18.   Jika anda berpeluang untuk bersalam dengan panel temuduga, anda genggap tangan mereka dengan lembut dan yakin.
  • 19.   Jangan terlalu banyak bercakap. Cakap sahaja perkara yang perlu dan berikan jawapan tepat, padat dan ringkas.
  • 20.   Jangan buat – buat tahu.
  • 21.   Jangan biarkan diri anda terkeliru. Berikan jawapan yang anda tahu sahaja. Tenangkan diri dan susun ayat yang membuatkan panel temuduga faham apa yang anda katakan.
  • 22.   Jangan mengutuk syarikat lain atau majikan lama.
  • 23.   Tanya soalan yang penting. Jika anda di beri peluang bertanya soalan pada panel temuduga mengenai syarikat atau kerja, anda tanya soalan yang penting iaitu soalan yang boleh membantu anda memperoleh pekerjaan itu nanti.
  • 24.   Tinggalkan bilik temuduga dengan senyum lebar dan bersemangat.
  •  

Thursday, March 10, 2016

10 STRATEGI

10 strategi untuk berjaya dalam temuduga.

Berikut saya bekalkan anda 10 strategi untuk anda gunakan bagi menghadapi hari temuduga

Strategi pertama : Buat kajian mengenai syarikat.

Ini adalah strategi asas dan wajib anda lakukan. Anda perlu ambil tahu mengenai syarikat. Lawat laman web mereka dan ambil tahu apa yang syarikat itu lakukan, perkembangan semasa syarikat, apa harapan mereka dan siapa pemimpin mereka. Panel temuduga pasti akan kagum apabila anda mempunyai pengetahuan yang luas mengenaisyarikat mereka.

Strategi kedua :  Pakar resume anda sendiri.



Sebagai calon temuduga, anda perlu pakar dan tahu mengenai apa yang anda tulis di resume anda. Boleh jadi, panel temuduga akan menyoal anda berdasarkan apa yang anda sertakan di dalam resume. Jika anda silap jawab, anda pasti akan di hukum.

Strategi ketiga : Pastikan setiap perkara ada backup.

Setiap perkara yang anda rancang, anda fikirkan rancangan backup atau rancangan kedua.  Contohnya anda print lebih resume supaya jika terjadi apa – apa pada resume pertama, ada set resume baru sebagai pengganti.

Strategi keempat : Ambil tahu skop kerja yang anda mohon.

Anda fahami sebenar – benarnya skop kerja yang anda mohon itu. Apabila anda faham dan tahu anda akan bekerja sebagai apa, barulah anda boleh menjawab soalan temuduga dengan baik nanti.

Strategi kelima : Bentukkan hubungan yang mesra dengan panel temuduga.
Sebaik sahaja anda melangkah masuk ke dalam bilik temuduga, anda melangkah dengan penuh yakin, mulut terukir senyuman dan jika berpeluang untuk salam, anda salam mereka.. Apabila mereka senang dengan gaya mesra anda, pasti soalan – soalan yang di lontarkan juga agak mudah.

Strategi keenam : Pandangan mata yang positif.

Fikir positif dan lakukan “ eye contact” atau hubungan mata dengan panel temuduga. Pandang mereka dengan muka yang santai dan mesra. Apabila anda melihat mereka tepat pada mata, anda menunjukkan diri anda yakin. Majikan suka mengambil pekerja yang ada keyakinan.

Strategi ketujuh : Bahasa badan yang menarik.

Gunakan bahasa badan yang sesuai ketika berbicara. Berdiri tegak dan yakin. Jangan tunjukkan bahasa badan yang anda seorang pemalas, penakut dan tidak ada karisma. Duduk dan berdiri seolah – olah anda sentiasa ada stamina dan bersemangat. Namun, jangan terlalu keras. Tunjukkan bahasa badan yang lembut tetapi tegas.

Strategi Kelapan : Berikan contoh yang sesuai.

Apabila anda ingin bercerita atau menghuraikan sesuatu perkara, anda sertakan contoh sekali.Apabila anda memberi contoh, panel temuduga akan ingat contoh yang anda beri itu. Secara tidak langsung, nama dan wajah anda bermain di minda mereka.

Strategi kesembilan : Jadi diri sendiri.

Jangan hipokrit. Tenangkan diri dan jadi diri sendiri. Anda tidak perlu  meniru gaya percakapan orang lain  atau cara orang lain menjawab soalan.Anda cuma perlu jadi diri sendiri dan tunjukkan pada mereka diri anda yang sebenar. Jawab soalan mengikut cara anda.

Strategi kesepuluh : Ucapkan terima kasih.
Selepas selesai temuduga, anda ucapkan terima kasih pada panel temuduga. Untuk nampakkan diri anda lebih baik, anda hantar kad berbentuk poskad dengan ucapan terima kasih kerana memanggil anda untuk di temuduga. Jika mahu beri kad atau apa sahaja nota, anda berikan selepas temuduga itu berlangsung kerana selalunya majikan sekarang tidak mengambil masa yang lama untuk menentukan bakal pekerja mereka.